:: PENGIKUT ::

Saturday, December 17, 2011

Pensyarah Universiti Al-Azhar Syahid Ditembak : Syeikh 'Imad 'Affat 'Afifi Abdul Fatah



Assalamualaikum w.b.t. Sebut sahaja nama Syeikh ‘Imaduddin Ahmad ‘Iffat ‘Afifi Abdul Fatah, pasti seluruh warga Malaysia di bumi Anbiya’ mengenali & mengagumi kredibiliti serta ketokohan beliau. Beliau sangat dikenali sebagai seorang yang  faqih, ‘alim, tawadhu’, zuhud, sufi dan bersederhana dalam kehidupannya.

Di kaca mata saya, beliau merupakan seorang mursyid yang amat rajin serta tekun dalam menyampaikan ilmu kepada thoifah liyatafaqqohu fiddin yang amat dahagakan pengetahuan untuk mengenali Rabbul Izzati.



Mengimbau kembali rentetan zikroyat silam yang terlalu manis untuk dikenang, di sini saya ingin berkongsi bersama apa yang pernah saya dan sahabat-sahabat lalui bersama As-Syaheed sewaktu menuntut di Al-Azhar suatu ketika dahulu.

Seawal jam 8.00 sehingga 11.00 pagi setiap hari Isnin dan Rabu kelas Tafaqquh Fiddin berpandukan kitab Hasyiatul Baijuri 'ala Syarh Ibni Qassim Al-Ghuzzi diadakan di masjid Al-Azhar. Beliau melayan karenah anak-anak didiknya yang banyak bertanyakan itu dan ini tanpa sedikit pun timbul rasa jemu. Ada antara kami bertanya untuk mendapatkan kepastian & kefahaman yang lebih mendalam dan ada juga yang bertanya hanya semata-mata mahu menilai setinggi mana kefaqihan ilmu syeikhuna ’Imaduddin ‘Affat ‘Afifi rahimahullah.

Salah satu kelainan yang diterapkan oleh beliau dalam pengajarannya adalah mengulangkaji pelajaran sebelum sesi pengajian bermula. Beliau juga tidak akan lupa untuk menyoal murid-muridnya : “Hal ‘indakum sual?” (Ada sesiapa yang nak bertanya?) setiap kali tamatnya kelas tafaqquh. Sekiranya tiada yang ingin bertanya, beliaulah yang akan bertanya kembali berkenaan pelajaran yang baru di ajar kan tadi. Jika jawapan yang diberikan adalah betul, maka ada habuan (hadiah) yang akan diterima dan jika jawapannya adalah salah, libasan rotan pula akan hinggap di tapak tangan mereka. Satu kenangan yang cukup-cukup indah.



Tanggungjawab yang digalas sebagai ahli fatwa di Darul Ifta’ Mesir, bukanlah satu perkara yang mudah bagi mereka yang tidak mempunyai mujahadah serta semangat yang tinggi dalam keikhlasan menyampaikan ilmu. Dengan jarak kira-kira 30km daripada Masjid Al-Azhar, Syeikh ‘Imad sanggup datang ke Masjid Tauhid yang terletak di Hayyu Asyier untuk mengajar ilmu Nahu berdasarkan kitab Al-Makudi Syarah Alfiah Ibnu Malik pada sebelah malamnya.

Pada hari Jumaat 16 Disember 2011 bersamaan dengan 21 Muharam 1433H jam 6.30 petang (waktu Mesir) kita telah dikejutkan dengan berita pemergian As-Syaheed Syeikh ‘Imaduddin Ahmad ‘Iffat ‘Afifi Abdul Fatah rahimahullahu ta’ala anhu. Menurut satu sumber beliau telah ditembak oleh tentera Mesir ketika hadir dalam protes di Syari' Majlis al-Wuzara' Kaherah, Mesir. Akan tetapi khabar mengenai keterlibatan beliau dalam protes tersebut telah dinafikan oleh isterinya dan menegaskan bahawa Syeikh ‘Imad hanya sekadar hadir tetapi tidak terlibat dalam protes tersebut. Wallahu'alam




Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada pemburu ilmu Rabbi dan sukar dicari ganti dalam bidang keilmuan Islam pada masa kini. Semoga roh As-Syaheed Syeikh ‘Imad ditempatkan bersama golongan kekasih-kekasih Allah SWT di Jannatul Naim dan semoga beliau akan menjadi kebanggaan Rasulullah SAW ketika bertemunya nanti.  Ameen.




Dipetik daripada apa yang di untaikan oleh Syeikh ‘Ali Juma’ah terhadap anak muridnya ini:-
  
Adalah Syeikh 'Imad (semoga Allah merahmatinya) seorang ulama’ yang mahir dalam bidang feqah, kuat ber’ibadah, sentiasa berzikir dan mengingati Allah, seorang yang bersyukur kepada Allah, merendah diri kepada Tuhannya, seorang pejuang, seorang yang mulia, tidak takut kerana Allah pada cercaan orang yang mencerca, seorang yg berakhlak mulia, sangat tawadhu’, mempunyai reputasi yang baik, tidaklah seseorang melihatnya kecuali akan sayang kepadanya, semoga Allah merahmati kamu wahai syeikh kami..Syeikh 'Imad, dan sesungguhnya hati merasa sedih, mata mengalirkan air mata, sesungguhnya kami amat sedih dengan perpisahan ini, dan kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang Tuhan kami redhai, sesungguhnya kami milik Allah dan dan kepadaNya kami akan kembali - Dr ‘Ali Juma’ah atas pemergian Syeikh 'Imad yang syahid tekena tembakan di dadanya


Antara mutiara kata Syeikh Yusri ( teman seperguruan beliau) :-

“ Syeikh ‘Imad sebab pernah belajar bersamaku di Kuliah Syariah di Universiti Al-Azhar di samping satu perguruan dengan Syeikh ‘Ali. Syeikh ‘Imad merupakan seorang yang cukup ‘alim dalam bidang lughah,diwarisi daripada ayah dan datuknya yang juga ‘alim dalam bidang yang sama. Syeikh ‘Imad mengajar kitab Mughni al-Labib yang cukup tinggi perbahasannya dan tidak ramai yang mampu menguasainya. Ketahuilah olehmu semua bahawa Rasulullah SAW bersabda :- Ilmu Islam itu akan hilang dengan cara Allah SWT mematikan para ulama’.”




AL-FATIHAH
Sumber : Berita Harian (17.12.2011)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...