:: PENGIKUT ::

Sunday, February 14, 2010

Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2




Alhamdulillah... Saya baru sahaja usai menamatkan penghayatan terhadap sebuah cerita yang amat menyentuh hati dan perasaan... Sebuah kisah cinta Islami yang pasti didambakan oleh setiap insan yang mencari cinta insani yang diredhaiNya... KETIKA CINTA BERTASBIH 1 & 2... Sebuah karya terulung nukilan Saudara Habiburrahman El Shirazy  yang dinobatkan sebagai BEST SELLER BOOK in Asia dan diadaptasi menjadi sebuah filem yang sangat dekat dengan penonton... Jalan ceritanya mudah difahami dan kesuluruhan ceritanya berunsurkan kisah-kisah kehidupan insan-insan yang sentiasa mencari keredhaan Allah SWT dalam setiap perkara dan pekerjaan yang mereka lakukan dalam kehidupan seharian... 

Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 dibintangi oleh 5 orang pelakon yang terpilih dari sesi uji bakat telah diadakan khas untuk filem ini iaitu 


M.Kholidi Asadil Alam sebagai Khairul Azzam



Oki Setiana Dewi sebagai Anna Althafunnisa



Meyda Sefira sebagai Ayatul Husna



Alice Sofie Norin sebagai Eliana Pramesthi Alam



Andi Arsyil Rahman Putra sebagai Furqan


SINOPSIS PENUH

Kisah ini dimulakan dengan kisah seorang pemuda tampan dan cerdas berasal dari Indonesia bernama Abdullah Khairul Azzam (28 tahun). Azzam merupakan seorang sejak dari kecilnya sudah terlihat sebagai seorang anak yang sangat baik budi pekertinya. Hasil usaha gigihnya dia telah berjaya menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar, Mesir. 

Azzam merupakan seorang pelajar cemerlang dan memperoleh peringkat Jayyid Jiddan (Amat baik) dan setelah setahun bergelar pelajar di Al Azhar, ayahnya telah meninggal dunia. Setelah kehilangan ayahnya... tanggungjawab sebagai ketua keluarga telah berpindah kepadanya. Azzam yang masih mempunyai ibu yang telah tua dan 3 orang adik perempuan telah berkorban masa dan tenaga mencari rezeki untuk mereka. Azzam telah membuat tempe dan bakso dan dipasarkan kepada orang kuat KPBRI di Kairo lantas menjadi terkenal dengan keenakan tempe dan baksonya. Selama 9 tahun Azzam berada di Mesir mencari rezeki dan dalam masa yang sama dia sering menggagalkan diri dalam kuliah supaya dia masih mempunyai peluang untuk terus belajar di Al Azhar dan dalam masa yang sama dapat meneruskan usaha mencari rezeki untuk menanggung perbelanjaan keluarga dan pengajian adik-adiknya.

Azzam sering berurusan dengan Eliana Pramesthi Alam iaitu puteri kepada Duta Besar Indonesia di Mesir. Eliana merupakan seorang pelakon layar dan sinetron di Jakarta terkenal di kalangan mahasiswa kerana kecantikan dan prestasi sebagai lulusan EHESS Perancis dan mahasiswi S-2 di American University in Cairo. Azzam menaruh hati padanya tetapi dia cuba untuk menjauhi Eliana kerana kehidupan seharian dan sosial nya sangat jauh berbeza dari Eliana. Pak Ali, pemandu peribadi Eliana turut menasihati Azzam supaya mencari wanita yang lebih sepadan dengannya. lantas menyarankan Azzam mengkhitbah seorang mahasiswa cantik yang tak kalah Eliana iaitu Anna Althafunnisa  S-1 dari Kuliyyatul Banaat di Alexandria dan sedang mengambil S-2 di Kuliyyatul Banaat Al Azhar – Cairo, yang juga menguasai bahasa Inggris, Arab dan Mandarin. Menurut Pak Ali lagi, Anna mempunyai kelebihan dari Eliana iaitu berjilbab, solehah dan merupakan puteri kepada Kiai Pesantren bernama Kiai Luthfi Hakim.

Ada keinginan Khaerul Azzam untuk menghkhitbah Anna walaupun ia belum pernah bertemu atau melihat Anna. Oleh kerana Azzam tidak cukup wang untuk pulang ke Indonesia untuk bertemu keluarga Anna maka Pak Ali telah menyarankan Azzam supaya mengkhitbah Anna melalui pak cik Anna iaitu Ustaz Mujab. Dengan setulus hati Azzam telah pergi menemui Ustaz Mujab untuk mengkhitbah Anna tetapi pinangannya ditolak kerana status Azzam sebagai S-1 yang masih tidak selesai, dia lebih dikenali kerana tempe dan bakso. Selain itu, Anna juga telah dikhitbah oleh sahabat Azzam sendiri iaitu Furqan, seorang mahasiswa dari keluarga kaya dan hampir menyelesaikan S-2 nya. Mengetahui tentang perkara itu Azzam amat kecewa dan terpaksa menerima dengan hati yang cukup perih.


Untuk dijadikan cerita... Azzam telah dengan tidak sengaja telah membantu dua orang mahasiswi dalam kesusahan dalam perjalan pulang dari membeli barang-barang untuk membuat bakso dan tempe di sebuah pasar di Cairo. Dan salah seorang dari mahasiswi itu adalah Anna sendiri. Dari pertemuan itu, Anna mula menyimpan perasaan kepada Azzam yang telah memperkenalkan dirinya sebagai Abdullah kepada Anna pada ketika itu. Dari saat itu Anna mula tertanya-tanya tetang pemuda baik yang dikenalinya sebagai Abdullah itu.


Disebabkan Anna sering didesak oleh Pak Cik Mahbub untuk memberikan jawapan. Anna telah memberikan persetujuan untuk menikahi Furqan walau dalam masa yang sama dia merasakan dia telah jatuh hati kepada Azzam. Pada ketika Anna memberikan persetujuan itu, Furqan telah ditimpa musibah apabila dirinya telah menjadi mangsa kejahatan yang sangat menghancurkan harapan-harapan hidupnya. Hal tersebut membuatnya menghadapi dilema antara ia harus tetap menikahi Anna yang telah dikhitbahnya, tetapi itu juga sekaligus akan menghancurkan hidup Anna.



Azzam yang sudah sangat rindu dengan keluarganya memutuskan untuk serius dalam belajar,  hingga akhirnya dia berjaya lulus. Akhirnya Azzam pulang ke pangkuan keluarga. Azzam secara kebetulan telah menaiki kapal terbang yang sama dengan Eliana dan secara kebetulan juga pada keesokan harinya Eliana telah ditugaskan untuk menjadi MC bagi majlis penyampaian anugerah kepada adik kepada Azzam iaitu Husna. Husna merupakan penulis muda yang telah dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi penulisan cerpen terbaik untuk cerpen yang bertajuk Menari Bersama Ombak. Pada malam itu, Husna telah mengangkat Azzam di mata Eliana dengan memuji segala pengorbanan yang telah dilakukan kepada keluarga sehingga dia dan adik-adiknya berjaya. Bermula dari saat itu, Eliana semakin mengkagumi dan menyukai Azzam. Keesokan harinya Eliana telah menawarkan diri untuk menghantar Azzam terus ke kampung halaman dan Eliana turut bertemu dengan ibu dan adik-adik Azzam. Ketika mereka sedang bersarapan, Anna yang terlebih dahulu telah pulang ke Indonesia dari Azzam untuk memmbuat S-2nya telah datang ke rumah Azzam untuk bertemu dengan Husna. Anna telah mengenali Husna ketika dia diberi tanggungjawab untuk merumuskan karya Husna dalam suatu majlis pelancaran buku Menari Bersama Ombak. Semasa majlis itu, Anna telah mengkagumi seorang yang bernama Azzam yang sering menerima pujian di mulut Husna. Anna benar-benar terkejut apabila menyedari Khaerul Azzam yang sering dipuji Husna itu adalah orang yang dia kenali sebagai Abdullah. Dan bermula dari situ, hati Anna sering berbolak balik dengan keputusannya menerima lamaran Furqan. Azzam pula seboleh-bolehnya menyembunyikan perasaannya terhadap Anna.



Azzam seperti yang telah diketahui merupakan seorang yang bijak dalam melakukan perniagaan. Dia tidak membuang masa untuk menunggu kerja tetapi dia telah memulakan perniagaan kurier dengan menghantar barang-barang pelajar-pelajar yang menuntut di Mesir seperti yang telah dipersetujui dengan salah seorang kenalan ketika berada di sana dahulu. Tetapi usahanya telah mendapat cemuhan dari orang- kampung yang beranggapan Azzam masih lagi menganggur dengan tidak mendapatkan pekerjaan tetap. Ibunya berkecil hati dan menuyuruh Azzam mencari pekerjaan tetap. Azzam tetap dengan pendiriannya. Dia telah membuktikan bahawa perniagaan juga boleh menjadi salah satu dati punca rezeki dan dia telah berjaya mengusahakan perniagaan berasaskan bakso dengan menamakan perniagaannya sebagai Bakso Cinta. Setelah itu, ibunya mula menyuruh Azzam untuk mencari jodoh. Bermula dari situ bermulalah sesi mencari jodoh.


Terlalu sukar perjalanan Azzam utnuk mencari jodohnya. Dari satu kisah ke satu kisah sehinggalah pada wanita yang terakhir dan sempat menjadi tunangannya, beberapa bulan sebelum majlis pernikahannya ibunya telah meninggal dunia kerana mereka ditimpa kemalangan semasa ingin meminta ayah Anna iaitu Kiai Lutfi Hakim untuk membacakan doa semasa majlis pernikahan Azzam nanti. Kiai Lutfi telah menolak permintaan ibu Azzam kerana dia merasakan dirinya tidak layak untuk mendoakan keberkatan pernikahan orang lain sedangkan pernikahan anaknya sendiri tidak berjaya. Anna pada ketika itu ditalakkan oleh furqan selaku memenuhi permintaan Anna kerana Furqan tidak pernah menyentuhnya selama 6 bulan perkahwinan mereka. Ibu Azzam tersangat sedih dan ketika dalam perjalan pulang, hujan turun dengan lebat dan sebuah lori telah melanggar motosikal yang dinaiki oleh mereka. Ibu Azzam meninggal di tempat kejadian dan Azzam pula telah mengalami patah kaki. Anna telah dihubungi Husna telah datang dan memberi semangat kepada Husna dan adik-adiknya dan membiayai kos perubatan Azzam.


Azzam tidak mengikat tunangannya itu dan merelakan tunangannya itu menerima pinangan orang lain sekiranya tidak mampu untuk menanti Azzam yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk pulih. Bulan demi bulan Azzam semakin pulih berkat kesabaran adik-adiknya menjaganya. Pada masa pemulihannya, pakcik dan makcik kepada tunangannya selaku orang tengah telah datang untuk memulangkan cincin pertunangan kerana ibu kepada tunangannya mahu menjodohkan tunangannya dengan orang lain walaupun tunangnya berkeras masih mahu menunggu Azzam. Setelah pulih, Azzam meneruskan pencarian jodohnya dengan meminta bantuan dari Kiai Lutfi untuk mencarikan jodoh untuknya. Cincin tunangannya diberikan kepada Kiai Lutfi dan ketika itu juga Kiai Lutfi berkias menceritakan tentang seorang janda yang masih suci dan juga solehah telah ditalakkan kerana masalah dari pihak lelaki. Azzam dengan senang hati menerima dan setelah diterima dia bertanyakan nama bakal isterinya itu. Sebaik sahaja Kiai Lutfi menyebut nama wanita itu, Azzam tersangat terkejut dan terharu dan dalam masa yang sama insan yang bakal menjadi suri hidupnya itu terus melakukan sujud syukur... Dan orang itu adalah Anna Althafunnisa....

Akhirnya Azzam dan Anna pun mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia. Eliana yang ingin menitipkan ucapan tahniah di atas pernikahan Azzam di rumah Anna pula akhirnya bertemu jodoh dengan Furqan yang kebetulan ingin kembali memiliki Anna setelah mengetahui dirinya bebas dari HIV.

Begitulah kisah pencarian cinta yang sebenarnya telah tertulis sejak dari loh mahfuz lagi tentang jodoh kita. Walau sesukar mana sekalipun perjalanan ceritanya... Jika seseorang itu telah ditakdirkan untuk orang itu... maka dialah akan menjadi jodohnya


Berikut adalah diantara soundtrack yang ada di dalam cerita Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 ini :
1. Ketika Cinta Bertasbih
2. Tuhan Beri Aku Cinta
3. Haramkah


Saudara Habiburrahman dikurniakan bakat yang sangat bernilai dalam menyampaikan mesej keIslaman kepada insan-insan seperti saya iaitu insan-insan yang sedang mencari petunjuk dan hidayah dariNya... Hamba-hamba Allah yang masih bertatih untuk mencari keindahan Islam di dalam dunia yang semakin hanyut ditelan arus kemodenan ini... Semoga akan menjadi semangat untuk kita mencari cinta suci dan indah di jalan yang di redhai Allah...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...