:: PENGIKUT ::

Saturday, January 17, 2009

.:: Cinta dan Kesetiaan ::.


>> Sesuci Cinta Zulaikha dan Nabi Yusuf A.S. <<

Entri kali ini boleh dikatakan sebagai topik agak berat yang Miz nak kongsikan. Kali ini Miz nak berkongsi dengan semua orang tentang sebuah kisah percintaan agung yang ada termaktub di dalam Al-Quran. Pada pendapat Miz kisah percintaan Romeo dan Juliet ataupun kisah cinta Qaisy dan Laila mahupun kisah percintaan Sultan Shah Jahan dan isterinya Mumtaz Mahal tidak setanding dengan kisah percintaan Zulaikha dan Nabi Yusuf A.S.

Miz amat mengkagumi kesetiaan Zulaikha terhadap orang yang disayanginya dan kesetiaan Zulaikha inilah membuatkan Miz berazam untuk menjadi seorang yang setia jika suatu hari nanti Miz dipertemukan dengan orang yang benar-benar Allah S.W.T janjikan untuk Miz. InsyAllah.

Kita sedia maklum dan sentiasa diingatkan bahawa setiap manusia itu dijadikan oleh Allah S.W.T berpasang-pasangan. Lelaki dan wanita itu dikatakan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain tidak kiralah manusia itu seorang ahli perniagaan ke, ahli politik ke, doktor ke, penjual cendol ke, cikgu ke, tukang angkat sampah ke, nelayan ke or siapa-siapa sahaja

Jadi kita semua umat manusia sememangnya telah diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai pasangan masing-masing. Oleh itu, kita tidak perlu bimbang dan risau mengenai siapakah insan yang bakal menjadi pasangan hidup kita suatu hari nanti kerana Allah S.W.T Maha Adil dan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Mungkin suatu perkara yang perlu kita pegang dalam hidup ini supaya kita dijodohkan dengan insan yang benar-benar terbaik untuk kita iaitu :-

“Wanita-wanita yang baik-baik itu untuk lelaki-lelaki yang baik-baik dan lelaki baik-baik itu untuk wanita-wanita yang baik-baik.” [QS. An Nur : 26]

Dan perkara seterusnya yang perlu kita lakukan ialah berdoa dan juga bertawakal kepadaNya.

Kita sebagai umat Islam pasti telah didedahkan tentang kisah-kisah percintaan para Nabi dan Rasul serta isteri. Sebagai contoh kisah Nabi Adam A.S. dan isteri yang bernama Hawa, kisah Nabi Muhammad S.A.W dan salah seorang isteri baginda Saiyiditina Khadijah, kisah Nabi Ibrahim A.S dan isteri-isteri bernama Hajar dan Sarah, kisah Nabi Sulaiman A.S dan Balqis serta kisah Nabi Yusuf A.S dan Zulaikha.

Namun begitu di dalam banyak-banyak kisah percintaan romantis para Nabi dan Rasul itu, kisah Nabi Allah Yusuf A.S dengan Siti Zulaikha paling menyentuh perasaan. Kisah mereka paling tragis, mengharukan, menyedihkan dan akhirnya penderitaan itu sampai ke titik penghujungnya iaitu kebahagiaan selamanya.

Zulaikha? Siapakah Zulaikha itu sebenarnya? Jika kita refer tafsir Al-Quran, Zulaikha merupakan isteri kepada pembesar Mesir bernama al-Aziz yang telah membeli Nabi Yusuf A.S dan kemudiannya Nabi Yusuf A.S telah dijaganya seperti anak. Di dalam Al-Quran juga ada menyentuh tentang Zulaikha sebagai wanita yang tidak tahu menjaga kehormatan diri kerana telah menggoda Nabi Yusuf A.S dan sanggup membuat fitnah kepada Nabi Allah Yusuf A.S apabila tidak berjaya memilikinya.

Adakah Zulaikha wanita seperti itu? Kita tiada hak untuk menilai siapa itu Zulaikha kerana kedudukannya yang mulia, tidak akan dia diangkat darjatnya untuk sehidup semati dengan Nabi Allah Yusuf A.S.

Seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran, di dalam Surah Yusuf, Allah mengkhabarkan sejelas-jelasnya kisah seorang insan pilihan Allah yang diberikan mukjizat.

Allah memberikan kelebihan kepada Nabi Yusuf berupa wajah yang tersangat tampan sehingga tiada dapat ditandingi oleh mana-mana lelaki di dalam dunia ini.

Kerana kekacakan baginda itulah yang menyebabkan Zulaikha telah jatuh hati kepadanya. Dengan pujuk rayu, Zulaikha cuba menarik Yusuf agar melakukan kemungkaran namun Yusuf berlindung dengan Allah dari sebarang kemaksiatan. Melihatkan pujukannya tidak berhasil, Zulaikha berkeras sehingga akhirnya dia menarik belakang baju Yusuf sehingga terkoyak di bahagian belakangnya.

Kisah Nabi Yusuf yang difitnah berzina ini juga ada dijelaskan dalam Al-Quran, Surah Yusuf :

[24] Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

[25] Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.

[26] Yusuf pula berkata: “Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:” “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.

[27] Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar”.

[28] Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.

Bagi mengelakkan terjadinya perkara umpama itu, Yusuf merelakan dirinya dibuang ke dalam penjara. Ini semua dinyatakan dengan terang di dalam Al-Quran.

Walaupun Yusuf telah dipenjarakan, Zulaikha masih tidak dapat melupakanYusuf. Memandangkan hal itu, suaminya Al Aziz itu lantas menceraikannya dan membiarkan Zulaikha hidup merana keseorangan.

Zulaikha hilang segala-galanya yang pernah dimilikinya suatu masa dahulu. Dia kehilangan kekayaannya, kekuasaannya, kecantikannya dan menjadi juga menjadi buta.

Ini kerana Zulaikha dikatakan menangis sehingga keluar airmata darah kerana merindui Yusuf selama Yusuf dipenjara menyebabkan matanya rosak dan seterusnya buta. Dia berdoa kepada Berhala agar dikurniakan semula pandangan matanya agar suatu hari kelak dia berupaya bertemu dan melihat Yusuf kembali.

Zulaikha kemudian menyedari kesesatan jalan hidupnya selama ini. Keinsafan itu membawa kepada Zulaikha mencari cinta teragung yang menemukan Zulaikha dengan cinta kepada penciptanya. Zulaikha menemui cinta teragung itu dan di hatinya kini hanya ada Allah S.W.T.

Suatu hari sewaktu Nabi Allah Yusuf berjalan melihat Bandaraya Mesir yang sibuk itu, Yusuf telah bertemu dengan Zulaikha di dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Zulaikha buta dan berkeadaan seperti tidak terurus. Melihatkan akan hal itu, Yusuf merasa sebak dan terus membawa Zulaikha pulang untuk dirawat.

Dengan izin Allah, Zulaikha dapat melihat kembali. Allah kemudiannya mengembalikan keremajaan dan kecantikan Zulaikha sehingga menyebabkan Yusuf jatuh cinta kepadanya. Mereka kemudiannya berkahwin.

Di malam pengantin mereka, Yusuf telah bersiap-siap berdandan untuk sebuah pertemuan bagi melepaskan rindu berahi. Namun Zulaikha tidak berhenti-henti beribadat dan berzikir sehingga Yusuf merasa sudah tidak sabar. Akhirnya Yusuf menarik baju Zulaikha sehingga terkoyak baju Zulaikha di bahagian belakang. Di saat itu menjelma Malaikat Jibrail,

“Hai Yusuf!! Sesungguhnya baju dengan baju. Maka dengan ini tertebuslah maruah Zulaikha!!”

Berbahagialah mereka berdua kemudiannya sehingga ke akhir hayat. Hasil perkahwinan mereka, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang tersangat cantik bernama Rahmah yang kemudiannya berkahwin dengan Nabi Allah Ayub A.S.

Begitulah kisah percintaan dan kesetiaan Zulaikha terhadap insan yang dikasihinya iaitu Nabi Allah Yusuf. Miz harap kisah cinta yang penuh dengan elemen kesetiaan ini dapat dijadikan sebagai panduan kepada kita semua tidak kira kaum Hawa mahupun kaum Adam sekiranya kita menginginkan kebahagian yang kekal dalam sesuatu hubungan. So, akhir kata dari Miz belajarlah untuk menjadi seorang yang
SETIA.


@>-- Cerita ini Miz telah adaptasi dari sumber-sumber yang Miz peroleh dari internet dan juga tafsir Al-Quran.

2 comments:

Unknown said...

nice story...
sure there will be someone for someone who really love someone..fhm tak? hehe

.:: Miss Indee ::. said...

ye... ye... sy memahaminye... hehe... hopefully sy akan bertemu dengan someone itu... =p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...